salam
hai.
Nama saya Nurul Rahika. Saya ialah seorang guru. Saya mengajar di sebuah sekolah menegah di Johor Bharu, Johor.
Saya merupakan guru sesi petang. Disekolah saya mengajar geografi, bahasa melayu dan pendidikan Jasmani dan kesihatan. Saya juga merupakan guru bagi kelas Peralihan 1. Dikelas Peralihan 1 terdapat 25 orang pelajar yang terdiri daripada 16 orang lelaki dan 9 orang pelajar perempuan sahaja. Manakala untuk komposisi kaum pula, terdapat 23 orang pelajar cina dan 2 orang pelaja berbangsa india. Setiap hari saya akan masuk ke kelas Peralihan 1 untuk mengajar bahasa melayu.
ini adalah kisah saya
kisah biasa dari guru biasa yang melihat bahawa kehidupan ini mempunyai rahsia luar biasa. Mari saya ceritakan:
KISAH 1
Dia adalah gadis berusia 13 tahun. Berbangsa cina. Mata sepet, rambut dipotong paras bahu. Lebih gemar memakai uniform baju kurung ke sekolah. Lebih selesa mungkin. Dia sentiasa ceria dan tidak pernah mendatangkan sebarang masalah buat masa ini. Senang untuk si asing ini berasa selesa dengannya.
Lewat minggu lalu, saya mengisi maklumat pelajar dalam data. Saya mengetahui bahawa si gadis bermata sepet itu telah kehilangan ibu dan ayahnya. Si ayah meninggal kerana barah otak. Si ibu tercinta mengucapkan selamat tinggal kerana barah serviks. Lalu, si gadis bermata sepet dan kakaknya menumpang kasih pada sang nenda. Tabahnya dia.
Wajah itu saya lihat setiap hari. Menjadi guru kelas dan mengajar matapelajaran bahasa melayu menyebabkan saya masuk ke kelas Peralihan 1 setiap isnin, selasa, rabu, khamis dan jumaat. Tidak culas dia ke sekolah setiap hari. Masih berbisa tawanya setiap sesi. Masih bahagia menikmati usia-usia muda bergelar dara sunti.
Sungguh saya terpana . Rindu datang tiba-tiba. Buat Ayah dan Emak tercinta. Syukur mereka masih hidup. Lantas saya belajar untuk lebih menghargai dan berbakti.
KISAH 2
Dia si teruna bermata bulat. Badan berisi, manis berlesung pipit di kedua-dua belah pipi. Si teruna berbangsa cina itu walaubagaimanapun agak keras tutur lengok bicaranya. Agak membenci Si Logan , Remaja berkulit gelap berketurunan India dikelasnya itu. Ada sahaja pantang Si Logan tak enak dimatanya.
Jesteru saya lihat pada hakikat bahawa terdapat 23 orang pelajar berbangsa cina dan 2 orang berbangsa india dikelas itu. Masih ada benci sesama kaum kah mereka. Ah mungkin kerana masalah bahasa melayu yang sepatutnya mencantumkan ikatan perpaduan antara mereka itu masih tidak fasih dikuasai lagi.
Lantas saya terangkan bahawa setiap kaum ini ada baik dan jahatnya. Ada melayu jahat ada melayu baik. Ada cina jahat , ada cina baik. Ada india jahat ,ada india baik.
Maka kebaikan seseorang itu seharusnya diukur pada peribadinya bukan pada keturunan warisan nenek moyangnya. Jika kita mahu dihormati seharusnya kita memulakan sikap menghormati orang lain dahulu. Lembutkan tutur katamu, wahai anak muda.
Si lesung pipit diam. Wajahnya jelas menahan marah pada sang guru. Dia masih kecil akalnya. Masih belum matang. Belum di lihatnya lagi bumi yang luas ini. Tapi saya sedar dia anak terluka. Bapa meninggalkan si balu dan 4 orang anak kecil kerana kecelakaan jalanraya. Gaji sebagai pengasuh berjumlah rm400 berapa cukuplah sangat menyuap 5 mulut.
Tapi saya tahu, si lesung pipit adalah anak yang memahami erti kesusahan hidup. Dalam bualnya kepada saya, sedaya upaya dia cuba mengurangkan beban si ibu.
Bila si rakan lain gembira menerima kelengkapan sekolah kerana berjaya melangsaikan yuran sekolah. Dia hanya memandang jauh. Mungkin terjentik perasaan iri hati. Mungkin kemudian di buang jauh-jauh dari hati. Supaya hati tidak gelap, sentiasa terang.
Dua kisah mungkin berbeza tapi kehidupan ini adalah sebuah perjalanan. Hanya mereka yang tidak pernah putus asa, tidak kalah dengan dugaan dan berusaha sahaja akan bernasib baik dalam sepanjang hidupnya.
____________________________________________________
Dalam doa saya, moga kesemua pelajar saya adalah mereka yang bernasib baik dalam hidup.
Ini adalah kisah saya. Kisah biasa dari guru biasa.
No comments:
Post a Comment