Monday, February 6, 2012

Sabar itu indah


salam.

Saya sandarkan badan di tiang masjid. Mata saya seakan berat. Jam menunjukkan hampir pukul 11 malam waktu tempatan. Bermakna  sudah pukul 4 pagi di Malaysia.Saya gagahkan diri untuk berjaga.Peluang seperti ini jarang-jarang datang. Peluang untuk bertemu dengan manusia terpilih itu. Insan yang dimuliakan darjatnya dan disebut banyak kali didalam al-Quran. Ya. Nabi Muhammad SAW.

Ruang raudah masih tidak dapat kami masuki lagi. Berbanding  lelaki, peluang untuk kaum wanita lebih terbatas dan mengikut waktu yang ditetapkan. Pegawai masjid yang bertugas menyuruh para wanita daripada kepulauan Nusantara( Indonesia, Malaysia dan Singapura) menunggu di ruang masjid yang berdekatan dan memberi laluan kepada para wanita daripada Asia Tengah masuk dahulu ke ruang Raudah. “ duduk dahulu ibu tegur pegawai wanita yang bertugas dalam pelat arab menghalang beberapa orang wanita dari kepualuan nusantara. Rasionalnya mudah, wanita arab lebih  besar dan agak kasar. Mereka menolak sesama sendiri . Saya sendiri pernah mengalami keadaan ini semalam ketika masuk ke Raudah bersama jemaah  arab. Keadaan di raudah pada waktu itu agak kelam kabut dan saya tidak lama di Raudah  pada ketika itu kerana bimbang dipijak.

Apa istimewanya Raudah? Di Raudah terdapatnya Makam Rasullullah SAW. Raudah itu dulu adalah ruang Masjid Nabawi yang asal. Raudhah itu adalah salah satu taman syurga. Raudah itu kawasan dimana Rasullulah pernah menyampaikan khutbah kepada para sahabat.  Berdoa di Raudah , Insyallah akan termakbul.

Setelah hampir 1 jam menunggu. Saya hampir mahu menangis. Saya tidak suka menunggu. Saya juga bukanlah seorang yang penyabar. Terserlah sifat-sifat buruk saya. Ya Allah, ujian sekecil itu pun saya hampir mahu menyerah sedangkan Rasullulah dahulu lagi berat diuji untuk menyebarkan dakwah islam. Rasullulah SAW pernah dilempar tahi, ditentang ahli keluarga sendiri, pernah  juga diancam bunuh. Semasa baginda hampir nazak, mulut baginda tetap tidak putus putus menyebut umatku, umatku. Sedangkan kita sebagai umatnya pun jarang-jarang untuk berselawat keatas nabi.

Saya duduk bersila sambil muka saya beralaskan tangan. Cuba menutup muka andainya air mata saya tumpah. “ Ya Allah, kau permudahkan urusanku dan percepatkan segala-segalanya supaya aku dapat berjumpa dengan rasulku”. Usai saya berdoa .  Maha suci Allah. Pegawai wanita yang bertugas segera menyuruh para Jemaah daripada kepulauan Nusantara ini masuk ke dalam Raudah.  Saya bersama-sama Dik Da, Nyai, Mak Teh, Busu dan Cik Ecah masuk ke dalam Raudah. Lantas saya  menunaikan solat sunat dan berdoa sebanyak yang boleh. 

Suasana di Raudah pada tika itu sangat-sangat berbeza daripada semalam. Keadaan tidak huru hara seperti semalam dan lebih tenang.’ Orang yang bersabar memang akan sentiasa mendapat kebaikan,masih terngiang-ngiang lagi kata-kata kak Zaharah, ketua rombongan kami ketika kami dihalang memasuki raudah dan dipaksa menungu sebentar tadi.

Solat di raudah membuatkan hati saya sebak. Dahulu disinilah Rasulullah menyampaikan khutbahnya dan di dengari para sahabat. Disinilah dahulu Rasullulah mengimamkan solat. Usai solat saya bergerak menuju keluar memberi peluang pada Jemaah lain pula untuk menunaikan solat disitu. Tiba-tiba seorang wanita tua berbangsa arab berkerusi roda memandang dan melambai-lambai saya.  Beliau menyuruh saya menolak kerusi rodanya ke luar. yes madam, where do u want to go?” saya bertanya. Wanita arab itu hanya tersenyum dan berkata-kata dalam bahasa arab. Bahasa yang saya tidak faham maksudnya. Alangkah ruginya saya tidak menguasai bahasa arab dan tidak berusaha juga untuk mempelajarinya. Sedangkan al-Quran itu sendiri  ditulis dalam bahasa arab.

Saya mula panik. Masakan untuk saya meninggalkan wanita ini disini keseorang. Saya bertanya-tanya pada jemaah wanita disekitar jika mereka  ada ternampak mana-mana waris wanita tersebut dalam bahasa inggeris. Mereka hanya mengelengkan kepala. Saya menjengah-jengah kepala melihat dari pintu keluar Raudah. Hati saya lega apabila ternampak Cik Ecah keluar lalu saya memanggil beliau. Saya terangkan perkara yang sebenarnya . Cik ecah kembali ke raudah dan  5 minit kemudian keluar sambil memaut tangan seorang pegawai wanita yang bertugas.

Syukur Allhamdullilah, pegawai wanita tersebut mengambil alih peranan saya dan menjelaskan perkara seperti ini sering berlaku. Malahan beliau menyuruh saya dan Cik Ecah masuk semula ke dalam Raudah untuk beribadah. Girang hati saya tidak terperi. Kami masuk semula ke dalam Raudah dan menunaikan solat sunat dan berdoa sebanyak yang mungkin. Saya titipkan sekali doa- doa keluarga dan rakan di Malaysia. Amin. Semoga termakbul. Syukur.


                                    Nyai. Cik Ecah. Pak Man. Cik Menah. Mak Teh. Busu.

Hidup ini adalah antara sabar dan syukur. Itu tanda kita ini makhluk yang mempunyai tuhan. Biasanya , kita selalu terlupa bersyukur pada nikmat yang Tuhan berikan kepada kita tetapi belajarlah untuk  bersabar dengan dugaan dan kesusahan yang tidak akan datang tanpa izinNya kerana disebalik semua itu ada hikmah yang tersembunyi yang tidak terjangka oleh kita. (  ms 112, Diari Mat Kilang, Ahmad Fairuz Daud)



Best Blogger Tips