salam.
Saya sandarkan badan di tiang masjid. Mata saya seakan
berat. Jam menunjukkan hampir pukul 11 malam waktu tempatan. Bermakna sudah pukul 4 pagi di Malaysia.Saya gagahkan
diri untuk berjaga.Peluang seperti ini jarang-jarang datang. Peluang untuk
bertemu dengan manusia terpilih itu. Insan yang dimuliakan darjatnya dan
disebut banyak kali didalam al-Quran. Ya. Nabi Muhammad SAW.
Ruang raudah masih tidak dapat kami masuki lagi.
Berbanding lelaki, peluang untuk kaum
wanita lebih terbatas dan mengikut waktu yang ditetapkan. Pegawai masjid yang
bertugas menyuruh para wanita daripada kepulauan Nusantara( Indonesia, Malaysia
dan Singapura) menunggu di ruang masjid yang berdekatan dan memberi laluan
kepada para wanita daripada Asia Tengah masuk dahulu ke ruang Raudah. “ duduk dahulu ibu” tegur pegawai wanita
yang bertugas dalam pelat arab menghalang beberapa orang wanita dari kepualuan
nusantara. Rasionalnya mudah, wanita arab lebih besar dan agak kasar. Mereka menolak sesama
sendiri . Saya sendiri pernah mengalami keadaan ini semalam ketika masuk ke Raudah bersama jemaah arab. Keadaan di raudah pada waktu itu agak kelam
kabut dan saya tidak lama di Raudah pada
ketika itu kerana bimbang dipijak.
Apa istimewanya Raudah? Di Raudah terdapatnya Makam
Rasullullah SAW. Raudah itu dulu adalah ruang Masjid Nabawi yang asal. Raudhah
itu adalah salah satu taman syurga. Raudah itu kawasan dimana Rasullulah pernah
menyampaikan khutbah kepada para sahabat.
Berdoa di Raudah , Insyallah akan termakbul.
Setelah hampir 1 jam menunggu. Saya hampir mahu menangis.
Saya tidak suka menunggu. Saya juga bukanlah seorang yang penyabar. Terserlah
sifat-sifat buruk saya. Ya Allah, ujian sekecil itu pun saya hampir mahu
menyerah sedangkan Rasullulah dahulu lagi berat diuji untuk menyebarkan dakwah
islam. Rasullulah SAW pernah dilempar tahi, ditentang ahli keluarga sendiri,
pernah juga diancam bunuh. Semasa
baginda hampir nazak, mulut baginda tetap tidak putus putus menyebut umatku,
umatku. Sedangkan kita sebagai umatnya pun jarang-jarang untuk berselawat
keatas nabi.
Saya duduk bersila sambil muka saya beralaskan tangan. Cuba
menutup muka andainya air mata saya tumpah. “
Ya Allah, kau permudahkan urusanku dan percepatkan segala-segalanya supaya aku
dapat berjumpa dengan rasulku”. Usai saya berdoa . Maha suci Allah. Pegawai wanita yang bertugas
segera menyuruh para Jemaah daripada kepulauan Nusantara ini masuk ke dalam
Raudah. Saya bersama-sama Dik Da, Nyai,
Mak Teh, Busu dan Cik Ecah masuk ke dalam Raudah. Lantas saya menunaikan solat sunat dan berdoa sebanyak
yang boleh.
Suasana di Raudah pada tika itu sangat-sangat berbeza
daripada semalam. Keadaan tidak huru hara seperti semalam dan lebih tenang.’ Orang yang bersabar memang akan sentiasa
mendapat kebaikan,’ masih terngiang-ngiang lagi kata-kata kak Zaharah,
ketua rombongan kami ketika kami dihalang memasuki raudah dan dipaksa menungu
sebentar tadi.
Solat di raudah membuatkan hati saya sebak. Dahulu disinilah
Rasulullah menyampaikan khutbahnya dan di dengari para sahabat. Disinilah
dahulu Rasullulah mengimamkan solat. Usai solat saya bergerak menuju keluar
memberi peluang pada Jemaah lain pula untuk menunaikan solat disitu. Tiba-tiba
seorang wanita tua berbangsa arab berkerusi roda memandang dan melambai-lambai
saya. Beliau menyuruh saya menolak
kerusi rodanya ke luar. “ yes madam, where do u want to go?” saya bertanya.
Wanita arab itu hanya tersenyum dan berkata-kata dalam bahasa arab. Bahasa yang
saya tidak faham maksudnya. Alangkah ruginya saya tidak menguasai bahasa arab
dan tidak berusaha juga untuk mempelajarinya. Sedangkan al-Quran itu sendiri ditulis dalam bahasa arab.
Saya mula panik. Masakan untuk saya meninggalkan wanita ini
disini keseorang. Saya bertanya-tanya pada jemaah wanita disekitar jika mereka ada ternampak mana-mana waris wanita tersebut dalam bahasa inggeris.
Mereka hanya mengelengkan kepala. Saya menjengah-jengah kepala melihat dari pintu
keluar Raudah. Hati saya lega apabila ternampak Cik Ecah keluar lalu saya
memanggil beliau. Saya terangkan perkara yang sebenarnya . Cik ecah kembali ke raudah
dan 5 minit kemudian keluar sambil memaut tangan seorang pegawai wanita yang bertugas.
Syukur Allhamdullilah, pegawai wanita tersebut mengambil
alih peranan saya dan menjelaskan perkara seperti ini sering berlaku. Malahan
beliau menyuruh saya dan Cik Ecah masuk semula ke dalam Raudah untuk beribadah.
Girang hati saya tidak terperi. Kami masuk semula ke dalam Raudah dan
menunaikan solat sunat dan berdoa sebanyak yang mungkin. Saya titipkan sekali
doa- doa keluarga dan rakan di Malaysia. Amin. Semoga termakbul. Syukur.
Nyai. Cik Ecah. Pak Man. Cik Menah. Mak Teh. Busu.
Nyai. Cik Ecah. Pak Man. Cik Menah. Mak Teh. Busu.
Hidup ini adalah antara sabar dan syukur. Itu tanda kita ini
makhluk yang mempunyai tuhan. Biasanya , kita selalu terlupa bersyukur pada
nikmat yang Tuhan berikan kepada kita tetapi belajarlah untuk bersabar dengan dugaan dan kesusahan yang
tidak akan datang tanpa izinNya kerana disebalik semua itu ada hikmah yang
tersembunyi yang tidak terjangka oleh kita. ( ms 112, Diari Mat Kilang, Ahmad Fairuz Daud)
Nukilan ini mengingatkan saya juga. Supaya diri ini sentiasa bersabar dengan setiap dugaan.
ReplyDelete